EMPAT sampel RT PCR kes positif Covid-19 hasil daripada saringan yang dijalankan di Parlimen yang diterima oleh Institut Penyelidikan Perubatan (IMR) daripada Makmal Kesihatan Awam Sungai Buloh menunjukkan mutase ‘spike protein’ yang dikenal pasti wujud varian Delta atau varian Kappa.
Bagaimanapun Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr.Noor Hisham Abdullah berkata, berdasarkan variant of concern (VOC) yang sedang menular di dalam komuniti, ia kemungkinan besar adalah varian Delta.
‘’Untuk makluman kajian di luar negara dan WHO telah melaporkan bahawa kes yang dijangkiti varian Delta mempunyai kandungan virus 1,200 kali lebih tinggi berbanding yang dijangkiti varian biasa. Penjujukan genom penuh akan dijalankan bagi pengesahan selanjutnya’’ katanya melalui Facebook beliau malam ini.
Beberapa jam sebelum itu Dr.Noor Hisham mengeluarkan kenyataan tujuh mukasurat yang memberi penjelasan terperinci kenapa Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) telah memberi cadangan kepada kerajaan supaya menangguhkan sidang Parlimen esok selama dua minggu.
Katanya, walaupun jumlah kes positif Covid-19 yang dikesan semasa Sidang Parlimen ini adalah 0.8 peratus, namun hasil penilaian risiko dengan mengambilkira faktor epidemiologi dan persekitaran, didapati persidangan Parlimen merupakan satu perhimpunan yang berisiko tinggi untuk berlaku penularan jangkitan Covid-19.
Antara kriteria penilaian risiko tersebut adalah terdapat enam (6) kes (1 kes pertama dan 5 kes pengesahan lanjut dengan (RT PCR) dengan kadar kebolehjangkitan yang tinggi (CT value yang rendah) dan bergejala yang memberi risiko berlaku penularan jangkitan dan berpotensi menjadi superspreader.
Leave a Reply