PERIKATAN Nasional (PN) Pulau Pinang yang dianggotai Parti Bersatu, Pas dan Gerakan menyokong penuh kepimpinan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin untuk terus mengemudi Kerajaan Pusat.
Pengerusi PN Pulau Pinang, Datuk Shabudin Yahaya berkata, PN Pulau Pinang akan terus bersama-sama kepimpinan rakan-rakan PN di semua peringkat lapisan dalam memastikan kelestarian Pelan Pemulihan Negara (PPN) dapat dilaksanakan dengan sempurna.
Dalam masa sama, beliau yang juga Pengerusi Bersatu Pulau Pinang menyeru semua kepimpinan dan parti politik bersatu hati, bekerjasama dan memberi tumpuan sepenuhnya ke atas usaha menangani pandemik Covid-19 yang masih berlarutan sehingga kini.
“Rakyat menuntut semua pihak memberi keutamaan kepada isu kesihatan, kebajikan dan pemulihan ekonomi rakyat dan negara pada waktu sekarang berbanding perebutan kuasa dan agenda peribadi masing-masing.
“Kestabilan politik amat penting dan menjadi keutamaan bagi menjayakan Pelan Pemulihan Negara yang direncanakan Kerajaan yang prihatin terhadap nasib rakyat Malaysia dalam mendepani pendemik Covid-19,” katanya dalam kenyataan bersama PN dan Bersatu Pulau Pinang hari ini.
Dalam masa sama, katanya, PN dan Bersatu Pulau Pinang terus menghormati, menjunjung kasih dan memelihara sistem Raja Berperlembagaan, keluhuran Perlembagaan dan kedaulatan undang-undang negara.
Leave a Reply