PENYEBARAN surat yang didakwa sebagai warkah Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah kepada Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin adalah suatu amat serius dan boleh menggugat kestabilan dan keharmonian.
Sehubungan itu Dewan Pemuda Pas memandang serius perkara tersebut dan menggesa siasatan polis dibuat bagi mengenalpasti punca kebocoran surat berkenaan.
Timbalan Ketuanya, Ahmad Fadhli Shaari berkata, satu laporan polis akan dibuat bagi meminta siasatan dijalankan.
‘’ ’Ia bertujuan untuk melihat sama ada wujud unsur khianat dan sabotaj daripada penyebaran surat tersebut. Dewan Pemuda Pas turut mengarahkan semua Dewan Pemuda Pas Negeri dan Kawasan untuk membuat laporan polis tersebut,’’ katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau berkata, jika surat tersebut adalah wujud, tentu ia merupakan surat rahsia dan terhad yang sepatutnya hanya untuk dibaca oleh penerima sahaja iaitu Perdana Menteri.
‘’Tindakan menyebarkan surat tersebut kepada umum, yang dimuat naik oleh sebahagian pimpinan Pembangkang adalah suatu perkara yang bercanggah dengan Akta Rahsia Rasmi. Sedangkan Istana Negara telah mengeluarkan kenyataan media umum yang disiarkan melalui laman Facebook rasmi Istana Negara untuk bacaan awam. Oleh itu, penyebarannya adalah suatu tindakan tidak beretika,’’ tegasnya.
Ahmad Fadhli yang juga Ahli Parlimen Pasir Mas berkata, tindakan itu juga telah menimbulkan polemik dan kekecohan dalam kalangan masyarakat, serta menampakkan seolah-olah berlakunya krisis di antara Istana dan Eksekutif.
‘’Sepatutnya ruang diberikan kepada kedua-dua pihak untuk menyelesaikan isu ini berlandaskan undang-undang dan kerangka Perlembagaan Persekutuan, bukan dimarakkan lagi pertembungan,’’ katanya.
Dalam tempoh pandemik, tegas beliaum seharusnya semua pihak bersatu dan bersama menggembleng tenaga dalam memastikan penularan wabak dapat dikekang, bukan memarakkan api perpecahan dan pertelingkahan.
‘’Pemuda Pas mengecam sebarang usaha dan cubaan mewujudkan kekecohan dan ketidakstabilan politik dalam tempoh ini, semata demi memuaskan nafsu serakah politik. Pemuda Pas mengajak agar semua rakyat bersatu dan fokus kepada menyelesaikan isu permasalahan rakyat dalam tempoh ini,’’ katanya.
Leave a Reply