Oleh RAHIMI MOHAMAD
KETUA Penerangan Pas Johor, Rusman Kemin berkata, ahli Parlimen pembangkang yang majoritinya pemimpin Pakatan Harapan (PH) mempamerkan wajah dan perangai jelek apabila menjadikan sidang Parlimen tidak ubah seperti pasar lelong, hingar bingar dan sangat memalukan.
Beliau berkata, persidangan bertukar menjadi gelanggang pertengkaran yang menjengkelkan untuk ditonton meskipun ia diperuntukan bagi membincangkan isu pandemik Covid-19 serta menyelesaikan masalah rakyat dan negara.

“Mereka berhujah dengan penuh emosi menuduh kerajaan sebagai penderhaka kepada Yang di-Pertuan Agong dan Raja-Raja Melayu, kononnya merekalah pejuang yang mahu mempertahankan institusi istana.
“Sedangkan merekalah yang paling kerap menghina Raja-raja Melayu dan kalangan mereka juga yang telah meminda Perlembagaan dengan menghadkan imuniti Raja-raja. Kita sedar akan permainan mereka untuk mendapat sokongan rakyat dalam Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) nanti dengan menuduh kerajaan hari ini sebagai penderhaka,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau berkata, tidak dapat dinafikan kerajaan yang ada ini mempunyai kelemahan dalam beberapa perkara .
‘’Namun kita kena sedar kerajaan hari ini juga telah mengambil satu tanggungjawab yang besar dan sangat berat kerana negara kita dan seluruh dunia sedang berdepan dengan ujian yang dahsyat iaitu Covid-19,’’ katanya.
Justeru, ujar Rusman, Pas sekali lagi mengulangi titah Yang di-Pertuan Agong agar semua berhenti seketika berpolitik dan tumpukan sepenuh perhatian untuk menangani masalah pandemik Covid-19 dan pemulihan negara.
Leave a Reply