Oleh MOHD LAZIM ENDUT
KEDEGILAN orang ramai tidak mematuhi SOP ketika Aidiladha lalu menjadi salah satu penyumbang peningkatan kes Covid-19 di Terengganu.
Menteri Besar Datuk Seri Dr.Ahmad Samsuri Mokhtar berkata, ada antara mereka mengadakan majis keraian secara ‘sembunyi-sembunyi’.
“Selain itu terdapat aktiviti merentas negeri dan daerah semasa perayaan walaupun ia tidak dibenarkan. Faktor lain yang turut menjadi penyumbang kepada peningkatan kes ialah kemasukan pekerja kontrak warga asing dari luar Terengganu yang tidak disaring sehingga mencetuskan kluster di antara mereka,” katanya dalan kenyataan hari ini.
Turut menyumbang kepada peningkatan kes di negeri tersebut ialah saringan bersasar melibatkan kontak rapat dan komuniti di seluruh negeri itu.
Beliau berkata, 883 kes baharu yang dicatatkan semalam merupakan tertinggi dilaporkan sejak negara dilanda pandemik tersebut.
‘’Faktor lain ialah peningkatan kes bergejala akibat penularan dalam komuniti di Terengganu,’’ katanya.
Dr. Ahmad Samsuri berkata, bagi menangani perkara itu, kerajaan negeri menerusi Jabatan Kesihatan Negeri Terengganu (JKNT) bersama pihak penguatkuasa daripada pelbagai agensi termasuk Polis Diraja Malaysia (PDRM) telah dan sedang mengambil berapa langkah termasuk meningkatkan saringan kontak rapat dan juga saringan di lokaliti berisiko yang dikenalpasti.
Susulan daripada aktiviti pengesanan itu kata Dr. Ahmad Samsuri, pihaknya menjangkakan akan berlaku peningkatan kes dalam masa dua minggu akan datang.
“Kita juga mahu proses vaksinasi di tempat kritikal atau kawasan yang mencatatkan bilangan kes Covid -19 tinggi dipercepat dan dipertingkatkan khususnya di Dungun dan Kemaman,” jelasnya.
Dalam laporan harian dikeluarkan JKNT semalam, Kemaman merekodkan 291 kes, Kuala Terengganu (195 kes) Dungun (179 kes), Marang (79 kes), Setiu (60 kes), Besut (23 kes) dan Hulu Terengganu (3 kes).
Leave a Reply