‘Kejahilan’ himpunan baju hitam

SYABAS untuk segelintir anak muda yang turun ke jalanan di tengah-tengah bandar raya Kuala Lumpur, semalam. ‘Tahniah’ kerana kalian menunjukkan ‘keberanian tidak bertempat’ apabila ‘keluar dan lawan’ di negeri yang mencatatkan jumlah kes Covid-19 kedua tertinggi setiap hari.

‘Hebat’ kalian kerana ‘begitu kebal’ untuk  berhimpun tanpa mempedulikan SOP,walaupun kalian tahu varian Delta sedang ‘mengganas’, tetapi malangnya semua ‘keberanian dan kehebatan’ itu, hakikatnya bukan sahaja akan membawa petaka kepada kalian tetapi juga seluruh negara.

Kalian mungkin seronok kerana dapat ‘keluar dan lawan’ bagi menunjukkan kebencian kepada kerajaan disebabkan terikut-ikut dengan agenda politik pihak tertentu, kalian mungkin bangga kerana ‘keluar dan lawan’ ketika majoriti rakyat Malaysia lebih rela berkurung di rumah.

Tetapi kalian lupa, ‘ada musuh’ yang memang ‘berpesta’ apabila kalian ‘keluar’ dan kalian lupa, ada ‘musuh’ yang kalian tak kan mampu ‘lawan’ apabila tidak mematuhi SOP iaitu varian Delta Covid-19. ‘Bijak dan berani sungguh’ kalian kerana sanggup berhimpun ‘di sarang virus’ tersebut.

Kalian mungkin tidak takut dengan undang-undang kerana akan ada pihak yang akan menyediakan khidmat guaman secara percuma. Kalian mungkin tidak bimbang kerana ada sang politikus yang akan membela dan mempertahankan perbuatan kalian walaupun melakukan perhimpunan ketika pandemik ini adalah perbuatan bodoh.

Tetapi percayalah, tidak semua orang menyanjung dan memuji ‘keberanian tidak bertempat’ kalian, sebaliknya mereka mengecam sikap tidak bertanggungjawab kalian yang mungkin akan menjadi punca kes baharu Covid-19 melonjak.

Inilah kebimbangan banyak pihak apabila melihat ‘kejahilan’ kalian terpekik terlolong di tengah-tengah kota raya Kuala Lumpur yang semalam mencatatkan 1,962 kes – di tempat kedua selepas Selangor yang mencatatkan 6,400 kes.

Walaupun kalian ‘berhak’ juga menerima ucapan terima kasih kerana perbuatan kalian membuktikan demokrasi di negara ini masih wujud ketika ‘tuan-tuan’ kalian menuduh kerajaan sedia ada sedang membunuh demokrasi tetapi hakikatnya kalian tidak layak menerima secebis pun pujian.

Tidak salah kalian mahu berhimpun, tidak salah kalian mahu meluahkan perasaan dan tidak salah untuk kalian mendesak kerajaan tetapi kalian melakukannya di tempat dan waktu yang salah.

Kalian berhimpun di kawasan wabak dan ketika virusnya masih mengganas. Dan paling malang kalian menunjukkan betapa ‘jahilnya’ kalian dalam memperjuangkan sesuatu isu.

Kalian berhimpun, kalian memekak di tengah-tengah Kuala Lumpur kerana menuduh kerajaan gagal memerangi Covid-19, kalian mendesak Perdana Menteri letak jawatan, tetapi apa yang  dilakukan menampakkan kalian sebenarnya yang gagal kerana akan turut menyumbangkan kepada penularan wabak Covid-19.

Kalian yang gagal untuk menilai bahawa sekarang bukan masa sesuai dan tempat kalian juga bukan lokasi sesuai untuk berhimpun. Kalian juga gagal untuk memahami perasaan barisan hadapan yang ada antara mereka begitu marah dengan ‘kebodohan’ kalian mengadakan demonstrasi ketika kes tengah memuncak.

Kelompok seperti kalianlah sebenarnya penyumbang kegagalan kepada usaha kerajaan memerangi Covid-19. Kelompok sang politikus yang menyokong kalian mungkin bergembira kerana kononnya apa yang kalian lakukan itulah suara rakyat? Suara rakyat mana? Kalau betul suara rakyat, tiada rakyat yang akan ‘sejahil’ kalian sanggup berdemonstrasi ketika Covid-19 masih menular tambahan pula dengan adanya varian Delta.

Kenapa kelompok sang politikus itu tidak menghalang kalian? Kenapa mereka tidak menganggap perbuatan kalian tidak mematuhi undang-undang seperti mana mereka mengecam seorang dua musuh politik mereka melanggar SOP sehinggakan ia menjadi bahan sindiran mereka di Dewan Rakyat?

Kenapa kelompok sang politikus itu tidak mendesak supaya kalian semua dikenakan tindakan seperti mana individu-individu lain yang melanggar SOP? Kalau ada yang makan beramai-ramaipun dikenakan kompaun, kenapa pula kalau kalian dikompaun akan dianggap tidak adil? Apa istimewanya kalian? Adakah kalian istimewa hanya kerana suara kalian senada dengan kelompok sang politikus?

Sebenarnya suara kalian bukanlah suara rakyat, jauh sekali mewakili rakyat tetapi kalian hanya kelompok yang menyusahkan rakyat. Ia kerana mungkin kerana kalian kes Covid akan meningkat. Mungkin kerana kalian ada insan tidak berdosa akan mendapat jangkitan kerana virus kalian ‘gagal lawan’ ketika berhimpun semalam. Dan mungkin kerana kalian, beban petugas-petugas barisan hadapan bertambah ‘nazak’. Adakah itu yang kalian mahu banggakan? Adakah itu hasil  ‘keluar dan lawan’ kalian?

Kalau itulah hasilnya, percayalah kalian melakukan ‘kerja bodoh’ …


Comments

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *