Oleh Abu Ubaidillah Rahman
IBU pejabat Polis Daerah (IPD) Penampang memburu empat lelaki yang disahkan positif Covid-19 dan melarikan diri dari Pusat Kuarantin Covid-19 Institut Latihan Mahkamah Anak Negeri (Ilman), Kota Kinabalu awal pagi ini.
Tiga tahanan bukan warganegara dan seorang tahanan warganegara itu melarikan diri dari pusat kuarantin berkenaan pada pukul 3.30 pagi.
Keempat-empat tahanan itu, Mohd. Rahman Basir, 24; Mohd. Diyazmir Razif Rudyaz, 20; Salman Arip, 19, dan seorang warganegara, Arippian Abdul, 27.
Ketua Polis Daerah Penampang, Deputi Superintenden Mohd. Haris Ibrahim berkata, kesemua tahanan itu dipindahkan dari lokap Balai Polis Penampang ke pusat kuarantin berkenaan secara berperingkat-peringkat bermula pada 24 Julai lalu setelah disahkan positif Covid-19.
Kesemua mereka masing-masing ditahan mengikut Seksyen 39A(1) Akta Dadah Berbahaya 1952, Seksyen 411 Kanun Keseksaan dan Seksyen 323/329 Kanun Keseksaan.
Mohd. Rahman ditahan atas kesalahan memiliki dadah manakala Mohd. Diyazmir dan Arippian ditahan kerana kesalahan memiliki barangan curi dan Salman pula ditahan kerana sengaja menyebabkan kecederaan terhadap orang lain.
Leave a Reply