Sungai Kim Kim kembali tercemar

Oleh Abu Ubaidillah Rahman

JABATAN Alam Sekitar (JAS) Johor mengesan pencemaran baharu di Sungai Kim Kim di Pasir Gudang selepas mendapat aduan penduduk setempat yang memaklumkan airnya berwarna hitam serta berbau busuk.

JAS Johor dalam satu kenyataan memberitau, pasukan dari Unit Penguatkuasa Industri JAS bergegas ke lokasi kejadian di Sungai Kim Kim untuk menjalankan siasatan susulan aduan awam pencemaran sungai itu pada pukul 10 malam Rabu lalu.

“Siasatan di lokasi kejadian mendapati air sungai bewarna hitam dan terdapat bau busuk dikesan sepertimana aduan yang diterima.

“Pasukan telah mendapatkan butiran maklumat kejadian dari penduduk sekitar untuk memperkemaskan siasatan,” jelas JAS Johor dalam satu kenyataan yang dikeluarkan di sini hari ini.

Menurut kenyataan itu lagi, kelmarin pasukan JAS dari cawangan Pasir Gudang menyusuri sekitar kawasan Sungai Kim Kim dan pemantauan melalui dron dijalankan bagi mengenal pasti punca yang boleh disyaki menyebabkan pencemaran tersebut.

Pengukuran kualiti air sungai juga dijalankan Unit Pengawasan JAS Johor di beberapa lokasi di sepanjang sungai tersebut.

“Siasatan awal mendapati pencemaran disyaki berpunca daripada pelepasan air sisa dari premis bukan industri,” menurut kenyataan itu.

Tambah kenyataan itu lagi, berdasarkan siasatan lanjut, didapati premis tersebut sedang menjalankan kerja-kerja penyelenggaraan sehingga menyebabkan air sisa tanpa dirawat mengalir memasuki sungai berhampiran.

Persampelan telah dijalankan dan dihantar ke Jabatan Kimia Malaysia untuk tindakan selanjutnya di bawah Peraturan-peraturan Kualiti Alam Sekeliling 1974.

“Premis diminta menjalankan langkah pembaikan segera dan Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) dimaklumkan untuk tindakan selanjutnya.

“Sebarang aduan pencemaran boleh terus dilaporkan ke talian bebas tol 1-800-88-2727, email ke aduan_k@doe.gov.my atau ke portal aduan https://eaduan@doe.gov.my,” demikian menurut kenyataan itu.


Comments

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *