KPDNHEP tumpas sindiket seleweng gas LPG bersubsidi

SATU kegiatan penyelewengan gas petroleum cecair (LPG) bersubsidi berjaya ditumpaskan pegawai penguat kuasa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) dalam serbuan di sekitar bandar Seremban serta Port Dickson, semalam.

Pengarah Penguatkuasa KPDNHEP Azman Adam berkata, sebanyak enam lelaki termasuk empat warga asing ditahan dalam operasi membabitkan nilai rampasan sebanyak RM147,940 itu.

Menurutnya, dalam serbuan di sebuah stor, pasukan KPDNHEP menemukan 126 tong LPG seberat 50 kilogram (kg) yang berisi dan kosong untuk kegunaan industri, 136 tong LPG 14 kg berisi dan kosong untuk kegunaan domestik dan 1,500 kartrij butana cecair berisi dan kosong.

“Modus operandi sindiket itu ialah membawa tong yang berisi LPG domestik 14kg bersubsidi daripada pemborong di sekitar Klang dan Beranang ke stor berkenaan, dan memindahkan gas bersubsidi itu ke tong 50 kg (kegunaan industri) serta tin gas untuk kegunaan dapur mudah alih 230 gram.

“Sebuah lori kargo am had muatan lima tan yang pada masa itu dipenuhi dengan tong gas LPG 14kg, serta peralatan-peralatan yang digunakan untuk pemindahan gas LPG seperti hos paip, alat timbang dan beberapa bungkus plastik ais bagi tujuan aktiviti pemindahan disita dalam operasi terbabit,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Azman berkata, dua orang lelaki tempatan dan empat lelaki warganegara Myanmar berumur 20 hingga 30 tahun yang berada di premis itu ditahan bagi membantu siasatan.

Ujarnya, nilai rampasan serta sitaan dianggarkan bernilai RM147,940.

“Operasi itu dilaksanakan hasil risikan selama tiga minggu dan premis berkenaan didapati telah beroperasi sejak dua bulan yang lepas.

“Jika sabit kesalahan, hukuman denda tidak melebihi RM1 juta bagi orang perseorangan atau penjara tidak melebihi tiga tahun atau kedua-duanya sekali, manakala bagi syarikat, ia boleh membawa hukuman denda tidak melebihi RM3 juta,” tambahnya.


Comments

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *