Parlimen: 11 individu positif Covid-19 semalam, Dr Noor Hisham saran jalani saringan sebelum sesi minggu depan

SEMUA individu yang akan hadir ke sidang Mesyuarat Khas Parlimen minggu hadapan dinasihatkan agar menjalani ujian saringan Covid-19 terlebih dahulu.

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata, ini selepas ujian saringan yang dilakukan di Parlimen semalam mengesan sebanyak 11 kes positif Covid-19.

Menurutnya, 10 kes positif itu dikesan melalui RTK Ag saliva test kit manakala satu lagi melalui RT PCR.

“Sehubungan itu semua yang akan hadir ke sesi Sidang Mesyuarat Khas Parlimen minggu hadapan dinasihatkan untuk menjalankan ujian saringan Covid-19 terlebih dahulu.

“Mereka yang bergejala disaran membuat pemeriksaan dan tidak hadir ke Parlimen,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Mengulas lanjut, Dr Noor Hisham berkata, sehingga pukul 8 malam, seramai 1,183 individu telah menjalani ujian saringan pengesanan Covid-19 menggunakan ujian kendiri RTK Ag saliva test kit.

Ujarnya, dripada jumlah yang disaring tersebut, sebanyak sembilan lagi kes dikesan positif Covid-19 menjadikan secara keseluruhan 10 kes yang dikesan melalui RTK Ag saliva test kit (satu kes tengah hari, sembilan kes petang).

“Sebanyak dua daripada 10 kes positif tersebut mengalami gejala ringan tetapi stabil, manakala lapan kes tidak bergejala,” katanya.

Beliau menambah, pasukan kesihatan akan menjalankan siasatan, penilaian risiko, pengesanan kontak, langkah-langkah pencegahan dan kawalan termasuk pembersihan dan disinfeksi di bangunan Parlimen.


Comments

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *