Oleh Abu Ubaidillah Rahman
KEMENTERIAN Sumber Manusia (KSM) akan menyiasat secara komprehensif insiden runtuhan perancah di tapak Projek Light Rail Transit Line 3 (LRT3), Klang, Selangor semalam yang menyebabkan seorang pekerja terbunuh.
KSM melalui kenyataannya hari ini memaklumkan, sepasukan pegawai penyiasat daripada Ibu Pejabat Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (JKKP) dan JKKP Selangor diarahkan memulakan siasatan dengan segera.
Pihkanya memandang serius insiden itu dan siasatan komprehensif akan turut membabitkan penglibatan Bahagian Kejuruteraan Forensik dan Bahagian Keselamatan Tapak Bina, JKKP bagi mengenalpasti punca kejadian.
“Ia juga untuk menentukan sama ada terdapat pelanggaran kehendak perundangan di bawah Akta Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan 1994,” jelas kementerian itu.
Dalam insiden yang berlaku sekitar jam 2 petang semalam, seorang pekerja warga Bangladesh yang berada di bawah runtuhan perancah itu disahkan meninggal dunia.
Tiga lagi rakan senegaranya dan seorang warga Indonesia turut cedera dan dibawa ke hospital untuk rawatan lanjut.
KSM menjelaskan, berdasarkan akta tersebut, menjadi kewajipan majikan memastikan keselamatan, kesihatan dan kebajikan pekerjanya semasa bekerja mahupun orang awam di tempat kerja yang berada di bawah kawalannya.
“KSM ingin menegaskan bahawa kementerian sentiasa memandang serius setiap kemalangan dan penyakit pekerjaan yang berpunca daripada aktiviti pekerjaan termasuklah kes kemalangan membabitkan sektor pembinaan,” katanya.
Leave a Reply