Oleh Abu Ubaidillah Rahman
PROGRAM vaksinasi di bawah inisiatif kerajaan negeri iaitu Johor ImmuPlan yang bermula semalam memberi tumpuan khusus kepada barisan hadapan ekonomi di negeri ini akan ditambah baik dari semasa ke semasa.
Menteri Besar Johor, Datuk Ir. Hasni Mohammad berkata, penambahbaikan dilakukan bagi memastikan lebih ramai individu menerima vaksin di bawah program itu tanpa mengabaikan prosedur operasi standard (SOP).
“Penambahbaikan yang akan dilakukan termasuk menyediakan lebih banyak bekalan vaksin di bawah program ini,” katanya kepada pemberita semasa mengadakan lawatan ke Pusat Pemberian Vaksin (PPV) Persada di sini semalam.
Turut hadir Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan dan Alam Sekitar negeri, R. Vidyananthan, Timbalan Setiausaha Kerajaan Negeri (Pengurusan), Datuk Mohd. Noh Ibrahim, Pengarah Kesihatan Negeri Johor, Datuk Dr. Aman Rabu dan Pengarah Majlis Keselamatan Negara (MKN) Johor, Mohd. Tarmizi Dan.
Johor ImmuPlan diperkenalkan bertujuan membantu barisan hadapan ekonomi Johor termasuk pekerja Malaysia dengan permit kerja sah di Singapura selain memiliki surat tawaran kerja atau surat majikan di Singapura.
Proses vaksinasi bagi individu yang layak akan dijadualkan secara harian mengikut tarikh pendaftaran mereka iaitu pendaftaran awal akan mendapat tarikh janji temu terlebih dahulu.
Leave a Reply