PELAKSANAAN vaksinasi harian Covid-19 negara terus mencatatkan perkembangan memberangsangkan apabila sebanyak 552,701 dos suntikan vaksin dilaporkan diberikan di seluruh negara setakat semalam.
Ini sekali gus menjadikan pelaksanaan vaksin di seluruh negara merekodkan pemberian vaksin harian melebihi 500,000 dos buat hari ketiga berturut-turut.
Menurut Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Adham Baba menerusi perkongsian infografik data pemberian vaksin dalam laman Twitternya, daripada jumlah itu, seramai 353,771 individu menerima dos pertama dan 198,930 lagi melengkapkan dos kedua.
Jumlah pemberian vaksin Covid-19 harian tertinggi menerusi Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK) yang dilaksanakan sejak 24 Februari lalu adalah pada Selasa dengan 553,871 dos suntikan, manakala Isnin mencatatkan 521,923 dos.
Sementara itu, Jawatankuasa Khas Jaminan Akses Bekalan Vaksin COVID-19 (JKJAV) melalui laman Twitter memaklumkan secara kumulatifnya, sebanyak 18,946,048 dos vaksin sudah diberikan kepada penduduk di negara ini setakat semalam.
Ia meliputi 12,841,212 orang untuk dos pertama dan 6,104,836 bagi dos kedua.
Operasi lonjakan kapasiti di Lembah Klang pula merekodkan 239,874 dos diberikan secara keseluruhan, pada Rabu.
Leave a Reply