250 keluarga terima sumbangan Sultan Ibrahim

Oleh Abu Ubaidillah Rahman

SEBANYAK 250 keluarga yang terjejas dengan pandemik Covid-19 di Taman Universiti, Skudai di sini hari ini menerima sumbangan Yayasan Sultan Ibrahim Johor (YSIJ).

Sumbangan disampaikan Mejar Cina, Datuk David Wong kepada Paderi Pusat Katolik Skudai, Christopher Lee untuk diagihkan kepada penerima.

Seorang penerima yang juga ibu tunggal, Esah Manap, 45, terputus punca pendapatan selepas majikannya tidak dapat meneruskan operasi perniagaan akibat pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

“Saya amat bersyukur mempunyai seorang Sultan yang berjiwa rakyat dan memahami kesusahan rakyatnya.

“Bantuan ini amat besar nilainya kepada kami sekeluarga,” katanya dalam satu kenyataan dikeluarkan Royal Press Office (RPO), hari ini.

Seorang lagi penerima bantuan, P. Malliga, 47, juga amat berterima kasih kerana bantuan disampaikan Sultan Ibrahim Sultan Iskandar menerusi YSIJ yang diberi secara adil kepada semua rakyat tanpa mengira latar belakang.

“Selama ini saya hanya mengharapkan bantuan daripada saudara dan jiran-jiran untuk meneruskan kehidupan.

“Junjung kasih Tuanku di atas bantuan ini, patik amat bersyukur Tuanku sentiasa membantu semua kaum di negeri Johor,” ujarnya.

Sementara itu, David Wong berkata, Sultan Johor sentiasa mengingatkan pihaknya supaya memastikan bantuan disampaikan secara adil kepada setiap kaum tidak kira apa jua kepercayaan mereka.

“Baginda amat memahami kesusahan rakyat yang berdepan cabaran ekonomi serta kehilangan punca pendapatan akibat pandemik Covid-19,” ujarnya.


Comments

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *