Tiada usul tergempar dalam sidang DUN Johor

Abu Ubaidilah Rahman

TIADA usul tergempar termasuk undi tidak percaya terhadap Menteri Besar, Datuk Ir Hasni Mohammad dalam Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor yang akan bersidang pada 12 Ogos ini.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Permas, Datuk Seri Che Zakaria Mohd Salleh berkata, sidang DUN Johor dijangka berjalan lancar terutama selepas tiada perubahan kerajaan di peringkat Persekutuan.

“DUN Johor hanya akan panas atau akan ada usul tergempar sekiranya berlaku pertukaran kerajaan di peringkat nasional. Setakat ini saya tidak dengar ada ADUN yang akan memberikan usul sedemikian.

“ADUN mesti tumpu untuk menyelesai masalah rakyat dan diharapkan DUN Johor kekal menjadi contoh, tidak seperti sidang DUN seperti di Kelantan, Terengganu dan Melaka yang sering kecoh,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar penyerahan sumbangan pihak Lembaga Kemajuan Johor Tenggara (Kejora) RM500,000 untuk Tabung Bencana Negeri Johor di Pusat Khidmat DUN Permas, Taman Bukit Dahlia di sini hari ini.

Terdahulu sumbangan itu disampaikan beliau selaku Pengerusi Kejora kepada Hasni yang mewakili kerajaan negeri di Pejabat Menteri Besar Johor, Kota Iskandar, Iskandar Puteri hari ini.

Pada 12 Julai lalu, Che Zakaria mendakwa, empat ADUN Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Johor sedia menarik sokongan terhadap kerajaan Perikatan Nasional (PN) Johor jika kepimpinan di peringkat Pusat bertukar.

Mengulas lanjut, Che Zakaria berkata, pihaknya sendiri akan mengusulkan masalah rakyat di daerah ini antaranya banjir kilat, parit tersumbat dan perkara-perkara berkaitan Covid-19.

Dalam perkembangan lain, beliau berharap Yang Dipertua Dewan Rakyat, Datuk Azhar Azizan Harun mengambil tindakan terhadap ahli Parlimen yang buat bising dan melakukan kekecohan semasa persidangan Dewan Rakyat pada Selasa.

Katanya, perkara tersebut tidak wajar berlaku kerana mereka menunjukkan teladan yang tidak baik kepada rakyat selain tidak menghormati Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin dan Dewan Rakyat.


Comments

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *