Komander Singapura dikenakan tindakan disiplin tidak pakai pelitup muka ditempat awam

TINDAKAN seorang komander Angkatan Bersenjata Singapura (SAF) bercakap kepada rekrut kumpulan Latihan Asas Tentera (BMT) dekat stesen MRT Pasir Ris tanpa memakai pelitup muka dengan betul mengundang padah apabila dia bakal dikenakan tindakan disiplin.

Jurucakap Kementerian Pertahanan Singapura (MINDEF) dalam satu kenyataan berkata, satu siasatan oleh SAF mendapati komander berkenaan melanggar langkah-langkah pengurusan selamat yang telah ditetapkan.

“Langkah-langkah pengurusan selamat adalah penting bagi memastikan latihan dan operasi SAF dapat dijalankan dengan selamat dan para komando kami harus menunjukkan contoh positif serta melaksanakan peraturan itu untuk melindungi diri mereka serta para pelatih,” kata MINDEF dalam satu kenyataan, semalam.

Dalam satu video yang tular di Facebook, seorang lelaki berpakaian kemeja-t putih dilihat bercakap kepada sekumpulan rekrut SAF dengan pelitupnya di bawah dagunya sambil dia memegang minuman.

Gambar-gambar lain menunjukkan lelaki itu sedang merokok di kawasan tersebut.

Singapura semalam melaporkan 136 kes jangkitan baharu tempatan Covid-19.

“Untuk mengekalkan tahap kesediaan operasi dan keselamatan latihan dalam sekitaran endemik Covid-19, SAF melaksanakan “langkah-langkah selamat, praktikal dan mampan,” kata MINDEF, bulan lalu.

Ini termasuk “strategi serampang tiga mata” iaitu vaksinasi, ujian dan proses pengawasan lebih baik serta operasi berkumpulan.


Comments

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *